Pelajar muka 'nerd' pun positif dadah - AADK Johor - Utusan Malaysia

Pelajar muka ‘nerd’ pun positif dadah – AADK Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sanggup beri dadah secara percuma atau menawarkan gajet seperti telefon bimbit antara modus operandi digunakan bagi menjerat pelajar sekolah agar mula terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Itu antara taktik licik digunakan pihak tidak bertanggungjawab yang dikesan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor ketika membuat siasatan lanjut berhubung penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah menengah di negeri ini.

Pengarahnya, Azli Ubin memberitahu, taktik sedemikian diguna bagi menarik minat golongan pelajar sebelum mereka menjadi ketagih terhadap bahan terlarang itu.

“Pada permulaan, pengedar dadah akan menawarkan dadah dengan harga murah, malah ada yang memberikan secara percuma selain turut menawarkan telefon bimbit bagi mendorong pelajar menggunakan dadah.

“Apabila sudah ketagih, ada antara mereka akan direkrut untuk menjadi ‘pusher’ selain perlu membeli bekalan dengan harga tinggi.

“Apabila mereka tidak mampu membelinya, itu yang kerap berlaku jenayah termasuklah menjadi keldai dadah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Setia Tropika, di sini semalam.

AADK Johor sebelum ini mendedahkan seramai 177 pelajar tingkatan empat dan lima sekolah menengah di negeri ini dikesan positif dadah daripada keseluruhan 10,132 pelajar yang disaring sepanjang tahun ini.

Daripada jumlah itu, 175 daripadanya merupakan pelajar lelaki manakala dua yang lain perempuan sementara jenis dadah yang popular dalam kalangan pelajar sekolah termasuklah methamphetamine, ganja dan heroin.

Program yang dilaksanakan sejak 2017 itu telah menyaksikan seramai 616 pelajar dikesan positif penyalahgunaan dadah.

Menurut Azli lagi, penyalahgunaan dadah tidak mengambil kira faktor individu, sama ada mereka pelajar pintar atau tidak, mempunyai latar belakang keluarga bermasalah atau tidak dan sebaliknya.

“Semasa ujian saringan dadah dibuat, ada antara pelajar yang boleh dikategorikan sebagai pintar dan ‘nerd’ atau budak skema turut dikesan positif dadah.

“Sehinggakan guru pelajar berkenaan juga tidak percaya. Jadi, adalah penting untuk kita melakukan ujian saringan secara rawak dan bukan hanya tertumpu kepada pelajar yang dikategorikan sebagai bermasalah,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihaknya menyasarkan untuk menyaring seramai 20,000 pelajar sekolah menengah bermula tahun depan dalam usaha mengawal penyalahgunaan dadah di peringkat sekolah.

Bagi mencapai inisiatif berkenaan, pihaknya menyeru kerjasama daripada sekolah-sekolah di negeri ini bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar mereka.

Menurut beliau, memang pada permulaannya ada sekolah yang keberatan untuk memberi kerjasama, namun, setelah diterangkan matlamat AADK, mereka mula memahami tujuannya iaitu sebagai intervensi bagi memulihkan pelajar yang telah terjebak.

“Bagi menjayakan usaha ini, AADK Johor telah memberi kursus kepada guru disiplin dan guru kaunseling di setiap sekolah dalam mengenal pasti pelajar yang berpotensi terlibat untuk dibantu demi masa depan mereka.

“Peranan dimainkan guru-guru ini amat besar kerana mereka merupakan mata dan telinga AADK di dalam sekolah dalam usaha untuk mengawal isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar,” tambahnya lagi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN