KUALA LUMPUR: Dengan kira-kira 1.5 juta kenderaan memasuki lebuh raya setiap hari dan peningkatan jumlah kes Covid-19, PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) menasihatkan pelanggan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kebiasaan baharu di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta plaza tol.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, setiap petugas PLUS termasuk anggota PLUSRonda dan penyelia plaza tol juga perlu mematuhi sepenuhnya SOP dengan memakai pelitup muka dan memastikan penjarakan fizikal pada setiap masa ketika berinteraksi dengan pelanggan.
Katanya, peringatan tersebut berikutan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 secara mendadak di seluruh negara sejak kebelakangan ini terutama di negeri-negeri di mana rangkaian lebuh raya PLUS beroperasi.
“Di bawah amalan kebiasaan baharu oleh organisasi yang menguruskan premis terbuka kepada umum, pelanggan dilarang masuk atau melakukan transaksi sekiranya tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, PLUS juga akan memastikan setiap anggota PLUSRonda memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika memberikan bantuan kepada pelanggan yang terkandas di lebuh raya.
Azman berkata, selain pemeriksaan suhu badan pelanggan yang wajib dijalankan di setiap R&R dan pengesahan kontak melalui aplikasi MySejahtera, PLUS turut memberi penekanan terhadap kebersihan makanan di seluruh premis R&R, hentian sebelah dan plaza tol melalui pembersihan rutin dan sanitasi secara berjadual.
“Plus secara berterusan akan meningkatkan pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan pelanggan terutamanya di kawasan R&R dan plaza tol untuk memastikan keselamatan dan keselesaan kepada petugas barisan hadapan kami, pelanggan dan rakan niaga,” katanya. – UTUSAN ONLINE