PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menubuhkan satu Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas sebagai usaha membantu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihaknya juga akan membangunkan pangkalan data komprehensif mengenai pekerja negara ini di republik itu.
“Objektif penubuhannya adalah untuk mengenal pasti strategi dan pelan tindakan dalam usaha membantu pekerja yang terkesan,” jelas beliau menerusi kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, dianggarkan seramai 400,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura dengan hampir 100,000 orang daripadanya berulang alik dari Johor Bahru manakala 300,000 menetap di sana.
Bagaimanapun, katanya, penularan wabak Covid-19 dan peningkatan kes di Singapura menyebabkan ramai pekerja Malaysia terjejas teruk.
“Ia ekoran ada majikan bertindak menutup syarikat bagi tempoh lama malah terdapat kes pembuangan pekerja akibat kekangan kewangan.
“Mesyuarat jawatan kuasa ini dipengerusikan Ketua Setiausaha KSM dan sesi pertama dijangka diadakan pada 30 Oktober ini,” jelas Saravanan lagi.
Jelas beliau, antara kementerian lain yang terlibat ialah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Katanya, selain itu, turut menyertai ialah kerajaan negeri Johor, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Unit Perancangan Ekonomi.
Saravanan menambah, kerajaan memandang serius isu pekerja Malaysia di Singapura terutama aspek kebajikan mereka sepanjang penularan Covid-19. -UTUSAN