PAKP perkenal Kad Prihatin Pahang - Utusan Malaysia

PAKP perkenal Kad Prihatin Pahang

Zuhairi Ab. Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, hampir semua industri terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, yang turut menyaksikan rakyat hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

Bagi menyokong pertumbuhan semula ekonomi setempat dan membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup, Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) mengambil inisiatif mewujudkan program Kad Prihatin Pahang.

Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat PAKP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, menerusi program itu, pihaknya memperkenalkan sistem keahlian kad diskaun pertama yang ditawarkan kepada warga Pahang untuk berbelanja dari banyak tempat di seluruh negeri ini. 

Jelasnya, program yang akan dibangunkan Trizure International Malaysia Sdn. Bhd. dengan kos RM2 juta itu mampu meningkatkan kuasa beli dan mengimbangi situasi menang-menang kepada pengguna dan golongan peniaga.

“Kad diskaun ini merangkumi sembilan skop perkhidmatan dan produk terpilih iaitu perkhidmatan kerajaan, pengangkutan, pusat rekreasi dan sejarah, penginapan, pusat jualan makanan dan minuman, pusat beli-belah, peruncitan, sukan dan pendidikan.

“Pelanggan hanya perlu menunjukkan kad ini untuk menikmati pelbagai diskaun menarik bermula lima peratus hingga 50 peratus yang ditawarkan oleh rakan niaga PAKP mengikut terma dan syarat ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Zuhairi menjelaskan, sistem kad diskaun itu berbeza dengan mana-mana kad diskaun lain kerana PAKP turut menempatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peniaga secara dalam talian untuk memberi banyak pilihan kepada pelanggan mendapatkan barangan keperluan harian.

Kemudahan itu, katanya, turut disediakan kepada pelanggan baharu untuk melihat kategori promosi dan pemasaran rakan niaga PAKP menerusi laman web www.pahang prihatincard.com

“Sejajar dengan slogan kami ‘Di Pahang, Segalanya Jimat’, dan kami meletakkan sasaran pengguna kad ini kepada kira-kira 500,000 orang sehingga pertengahan tahun depan, yang akan dijadikan pelanggan setia kepada rakan niaga PAKP.

“Sebagai permulaan, kami giat melakukan pendaftaran rakan niaga dan jumlah penyertaan akan bertambah dari semasa ke semasa sebelum kad diskaun diedarkan kepada ahli di negeri ini, ” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya