MELAKA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang sejak Rabu lalu digunakan pelancong dari Johor yang mengambil peluang bercuti di negeri ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di tempat tumpuan ramai mendapati, meskipun tidak semeriah berbanding cuti hujung minggu sebelum ini, rata-rata pengunjung merasakan suasana itu secara tidak langsung memberi keselesaan kepada mereka.
Seorang pengunjung dari Batu Pahat, Johor, Mohd. Fauzan Akop, 35, berkata, dia bersama isteri tiba ke bandar raya bersejarah itu sejak awal pagi untuk menikmati sarapan dan singgah ke beberapa lokasi pelancongan.
“Kebiasaannya kalau hujung minggu memang jalan raya sesak dan orang ramai berpusu-pusu di sekitar Banda Hilir tetapi kali ini memang nampak perbezaan apabila tak ramai sangat orang.
“Tetapi dari sudut lain, keadaan ini memberi keselesaan kepada kami untuk bersiar-siar tanpa perlu mengharungi kebanjiran pelancong walaupun masih mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Isnin lalu, kerajaan mengumumkan PKPB di ibu negara, Selangor dan Putrajaya ekoran kenaikan mendadak kes positif Covid-19 serta pengesanan beberapa kluster baharu.
Selain Johor, kedatangan pelancong ke Melaka pada hujung minggu sering ‘dibantu’ oleh pengunjung dari ketiga-tiga negeri itu yang terletak berdekatan selain Negeri Sembilan.
Sementara itu, tinjauan di Pantai Klebang juga mendapati suasana di situ lengang dan hanya puluhan pengunjung yang berehat di kawasan pantai itu yang biasanya dipenuhi ramai pada hujung minggu.
Pengunjung dari Muar, Johor, Abdullah Mohamed, 27, pula berkata, dia bercuti bersama keluarga setelah membuat tempahan hotel sejak awal bulan lalu.
Katanya, biarpun masih khuatir dengan pandemik Covid-19, dia terpaksa berkunjung juga ke negeri Hang Tuah itu setelah beberapa kali tertangguh sebelum ini.
“Kalau ikutkan kami datang lebih awal, tetapi ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan sehingga menyebabkan saya terpaksa menangguh percutian kami.
“Kebetulan pula PKPB dilaksanakan di Lembah Klang, jadi kami bersyukur juga kerana tidak ramai orang tetapi kami tetaplah berwaspada setiap masa,” katanya. -UTUSAN