SIK: Seorang lelaki warga emas yang mengalami masalah hilang ingatan selepas keluar daripada rumahnya di Kampung Charuk Padang Dalam, Belantik di sini pada Rabu lalu.
Warga emas itu, Ekliau Edintin, 81, yang juga uzur dikatakan keluar dengan hanya memakai tuala dan kali terakhir dilihat berada di kawasan tebing sungai berhampiran rumahnya kira-kira pukul 3 petang.
Pegawai Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Rosyidi Che Sobri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.08 pagi, Khamis lalu.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, waris mangsa memaklumkan, warga emas tersebut dipercayai hilang di kawasan sungai berhampiran rumahnya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, sebelum dilaporkan hilang, warga emas terbabit dikatakan keluar dari rumah dan dilihat berada di tepi sungai sebelum penduduk kampung membawanya pulang ke rumah.
“Penduduk telah membawa warga emas itu pulang ke rumah, namun sekali lagi, mangsa keluar semula dari rumah pada pukul 3 petang dan tidak pulang sehingga sekarang,” ujarnya.
Tambahnya, operasi mencari mangsa digerakkan oleh 21 anggota bomba dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) dan penduduk kampung.
“Operasi pencarian digerakkan di kawasan sekitar sungai, kebun dan belukar berhampiran termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan,” katanya. – UTUSAN ONLINE