PELABUHAN KLANG: Nelayan dinasihatkan untuk menyusun semula jadual untuk turun ke laut berikutan fenomena air pasang besar yang dijadualkan berlaku pada pertengahan bulan hadapan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, cuaca pada November hadapan diramalkan tidak berada dalam keadaan baik.
“Fenomena air pasang besar bulan hadapan diramalkan tidak menentu iaitu hujan dan angin yang kuat. Oleh demikian, kita menasihati nelayan supaya menyusun semula jadual untuk ke laut bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
“Selain itu, kita juga meminta penduduk supaya tidak berada dan melakukan sebarang aktiviti di pantai atau laut bagi mengelakkan sebarang kemalangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas mengadakan tinjauan air pasang besar di dua lokasi iaitu Perkampungan Nelayan Telok Gong dan Jeti Pulau Ketam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan Jeti Pulau Ketam dan Kompleks Dato Shaari dilimpahi air pasang besar setinggi 0.6 meter.
Sementara itu, Norazam berkata, pihaknya sentiasa mengadakan pemantauan dan memeriksa 10 kawasan yang dikenal pasti di lima daerah yang dilanda air pasang besar.
Katanya, seramai 150 anggota dan pegawai telah melakukan pemantauan seawal pukul 6 pagi bagi memastikan keadaan terkawal.
“Hasil pemantauan kita mendapati berlaku limpahan air sehingga ke daratan tetapi tidak mendatangkan bahaya kepada masyarakat dan penduduk yang berada di kawasan rendah.
“Malah, setakat ini tiada pemindahan dilakukan dan hanya beberapa kawasan sedikit sesak berikutan air naik ke daratan,” ujarnya.
Terdahulu, air pasang besar merekodkan paras tertinggi iaitu 5.8 meter berbanding 5.7 meter direkodkan kelmarin.
Air pasang dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam antara pukul 6 hingga 7.30 pagi.
Malah, data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun. -UTUSAN