JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah menunjukkan sikap hormat kepada parti serta pemimpin tertinggi UMNO dan Pas sepanjang tempoh lapan bulan berada dan menyokong kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tindak-tanduk itu boleh dilihat apabila Muhyiddin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah memanggil mesyuarat secara rasmi mahupun sekali membabitkan pimpinan utama UMNO dan Pas.
“UMNO dan Pas merestui ahli Parlimen Bersatu membentuk kerajaan PN dan menyokong kerjasama itu, namun apa Muhyiddin buat dalam tempoh lapan bulan berkuasa ini? Satu mesyuarat rasmi pun tak pernah beliau buat dengan Presiden UMNO dan Pas.
“Muhyiddin mahukan sokongan daripada dua parti besar ini tetapi beliau tidak hormat langsung kepada parti dan pemimpinnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata, maka tidak hairan mengapa UMNO juga sudah hilang kepercayaan dan rasa hormat kepada Muhyiddin dan Bersatu apabila sehingga kini UMNO dan Pas disifatkan bergantung tidak bertali dalam kerjasama politik serta Perdana Menteri sering melakukan keputusan mengikut kepentingan sendiri.
“Muhyiddin pandai mengatur permainan politik untuk memastikan survival beliau dan Bersatu terus bernafas biarpun terpaksa memperdayakan UMNO dan Pas. Nasib baik pemimpin UMNO cepat sedar dengan pencaturan Muhyiddin dan memberi kata dua kepada beliau,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, Muhyiddin perlu sedar bahawa beliau diangkat menjadi Perdana Menteri oleh UMNO, sebaliknya beliau kini dilihat cuba memecahbelahkan perpaduan dalam parti sehingga menimbulkan pelbagai tindak balas daripada ahli sendiri.
“Malah tindak tanduk beliau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi bukti jelas. Persoalannya adakah UMNO masih boleh mempercayai beliau sebagai rakan kerjasama yang jujur atau tidak?
“Ahli UMNO sudah sedar bahawa ‘Abah Din’ bukan seorang bapa perpaduan tapi adalah seorang individu yang hidup dengan memecahbelahkan orang lain,” katanya.
Nur Jazlan menambah, Kerajaan PN semakin tersepit setelah diasak kuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di samping usul undi tidak percaya oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, tetapi Muhyiddin masih berusaha mencari jalan menyelamatkan dirinya menjelang sesi Parlimen pada 2 November ini.
“Sebenarnya apabila Anwar mendakwa kononnya beliau ada majoriti untuk mengambil alih kerajaan, Muhyiddin semakin gelabah termasuk soal apabila UMNO tarik sokongan.
“Kita tunggu dan lihat apa yang Muhyiddin nak buat lagi selepas ini. Apa yang pasti beliau hari ini semakin terdesak,” katanya. -UTUSAN