KUANTAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat meninggalkan pekarangan Istana Abdul Aziz di sini kira-kira pukul 7.10 petang setelah selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perdana Menteri yang turut disertai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang tiba di istana itu kira-kira pukul 4.40 petang.
Muhyiddin meluangkan masa kira-kira dua jam 30 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Beliau menghadap Al-Sultan Abdullah selepas Kabinet dikatakan bersetuju dengan pelaksanaan darurat bagi menangani penularan Covid-19.
Difahamkan, Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya pagi ini membincangkan beberapa cadangan berkaitan pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan bulan depan, ketika negara sedang ‘berperang’ dengan gelombang ketiga Covid-19.
Salah satu pilihan adalah darurat ekonomi.
Langkah itu difahamkan boleh memberikan banyak masa kepada kerajaan menguruskan Covid-19 tanpa terganggu oleh krisis politik. -UTUSAN