KLANG : Majlis Perbandaran Klang (MPK) membatalkan Bazar Deepavali di Lorong Tingkat di Jalan Tengku Kelana susulan peningkatan kes Covid-19.
Yang Dipertuanya, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuin berkata, pihaknya telah memberi perhatian untuk menimbang cadangan pembukaan tapak bazar perayaan Deepavali pada tahun ini.
“Namun, kita mengambil keputusan untuk menutup bazar itu sebagai salah satu langkah membendung penularan Covid-19 yang melanda Klang ketika ini.
“Bazar yang terlibat merupakan salah satu simbolik masyarakat India setiap kali menjelangnya sambutan Deepavali.
“Majoriti pengunjung adalah dalam kalangan penduduk tempatan, namun penduduk dari seluruh negeri turut mengambil kesempatan untuk mengunjungi bazar tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN