KUALA LUMPUR : Mahu sesuatu yang berbeza untuk drama arahannya. Pengarah Michael Ang mempertaruhkan dua nama baharu untuk menyanyikan lagu tema drama Perempuan Tanpa Dosa. Memilih Aliff Iskandar, 20, dan Syahmi Irfan, 19, kata Michael dia yakin kedua penyanyi ini mempunyai potensi besar dalam bidang nyanyian.
“Karya tersebut memang lagu asal ciptaan Aliff Iskandar dan kita beri Iman Imran untuk menulis lirik berdasarkan kisah tersebut. Saya gembira kerana terlibat sama dalam proses awal sehinggalah lagu ini dikeluarkan secara rasmi.
“Setidak-tidaknya saya dapat cungkil bakat baharu dengan karya-karya yang lebih segar dan baharu. Kita ada ramai orang yang hebat tetapi mereka tidak ada ruang. Kita beri mereka peluang untuk membuktikan potensi diri,” katanya.
Lagu Perit yang dinyanyikan oleh Aliff Iskandar manakala single Mungkir yang dilantunkan oleh Syahmi Irfan pula pertama kali diperdengarkan menerusi drama tersebut yang bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis di Astro Ria.
Syahmi Irfan yang merupakan bekas pemain badminton negara ini tidak tampil keseorangan dalam single Mungkir sebaliknya dia turut berkolaborasi bersama Aufa Hanie yang popular dengan menyanyikan lagu cover di YouTube.
Drama Perempuan Tanpa Dosa yang menggandingkan Kamal Adli, Uqasha Senrose dan Uyaina Arshad itu merupakan adaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya Fatinilam Sari Ahmad.