Mayat warga emas ditemukan dalam gua - Utusan Malaysia

Mayat warga emas ditemukan dalam gua

ANGGOTA bomba dan polis membawa naik mayat warga emas yang ditemukan tersangkut pada dahan kayu di dalam gua di sungai berhampiran Gua Ikan, Titi Tinggi, Padang Besar, Perlis hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan, akhirnya mayat seorang lelaki warga emas yang dipercayai lemas ketika mandi di sebatang sungai berhampiran Gua Ikan, Kaki Bukit di sini Rabu lalu ditemukan hari ini.

Mayat Lee Ah Kau, 71, yang masih lengkap berpakaian itu ditemukan tersangkut pada dahan kayu di dalam gua di kawasan sungai tersebut kira-kira pukul 10.06 pagi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas memberitahu, mayat mangsa ditemukan dalam gua kira-kira 50 meter daripada tempat warga emas itu dipercayai jatuh.

“Keluarga mangsa telah mengenal pasti dan mengesahkan mayat itu adalah warga emas tersebut. Mayat telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan, kami dapati tiada sebarang unsur jenayah kerana mangsa juga mengidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Rabu lalu, warga emas itu dikatakan mandi di sungai tersebut selepas motosikal dan pakaian miliknya ditemukan di kawasan tebing sungai.

Kehilangan warga emas itu, disedari oleh anaknya selepas mendapati bapanya tidak ada di rumah sejak awal pagi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Mohamad Firdaus Yusof berkata, operasi mencari dan menyelamat hari ini lebih lancar berikutan air jernih dan paras air lebih rendah berbanding semalam.

“Kami menemukan mayat mangsa tersangkut pada dahan kayu pada kawasan air berpusing yang mana terdapat lubang di situ. Sepanjang tiga hari operasi mencari sebanyak tujuh kali selaman dibuat bagi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya