SABAK BERNAM: Kehilangan seorang penternak kupang sejak dua hari lalu terjawab apabila mayatnya ditemukan kira-kira 4.2 batu nautika Sungai Pulai, Perairan Sabak Bernam pagi ini.
Mayat Jam Md. Ross, 43, ditemukan nelayan kira-kira pukul 9.20 pagi dalam keadaan tertangkup.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Nelayan Sungai Pulai oleh bot Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Setibanya di jeti tersebut, mayat diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
“Dengan penemuan itu, operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) ditamatkan pada pukul 10 pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE