PUTRAJAYA: Menunggu air keluar daripada paip umpama menunggu bulan jatuh ke riba. Itu kesusahan yang perlu ditanggung sebahagian besar penduduk di Presint 11, di sini berikutan gangguan bekalan air yang belum pulih sejak tiga hari lalu.
Seorang penduduk, Mohd. Khairi Kamaruddin, 41, berkata, tempoh tiga hari seperti penantian tiga bulan kerana aktiviti harian tergendala termasuk menjejaskan sumber pendapatan.
Dia yang juga pengusaha katering terpaksa menangguhkan perniagaannya berikutan masalah tersebut memandangkan penggunaan air sangat diperlukan bagi menyediakan bahan-bahan masakan.
“Saya terpaksa menghentikan jualan nasi lemak. Esok sepatutnya ada tempahan katering untuk 50 orang, nampaknya saya terpaksa menolaknya.
“Sejak semalam juga saya ‘cutikan’ anak-anak sekolah sebab di sekolah pun tidak ada air. Cikgu pun menggalakkan murid-murid membawa air sendiri untuk ke tandas. Lagipun musim Covid-19 anak-anak perlu mandi betul-betul,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam susulan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan tugas.
Menurut Mohd. Khairi, penghantaran lori tangki air hanya datang pada waktu tengah malam Isnin lalu dan kebanyakan penduduk telah tidur kerana maklumat tidak disampaikan lebih awal.
Katanya, masalah terputus bekalan air pernah berlaku pada tahun lepas dan berlarutan sehingga seminggu namun bantuan bekalan air melalui lori tangki dihantar setiap hari kepada penduduk di sekitar Putrajaya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Razali berkata, pada masa ini dia menggunakan simpanan air tangki untuk kegunaan harian.
Namun, dia berharap masalah tersebut dapat diselesaikan segera.
Dalam pada itu, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Selasih, Presint 17, Bahrunnizam Abd. Kadir berkata, bekalan air di kawasan itu turut terjejas namun setakat ini tangki utama di atas setiap blok mampu menampung penggunaan air dua hari dengan kadar penggunaan biasa.
“Jika tiada aktiviti tadahan panik, bekalan air tangki mencukupi. Tempat yang terjejas hanya melibatkan pili air terus seperti di kawasan tempat cucian kereta,” katanya.
Bagaimanapun, tinjauan di sekitar Presint 8 pula mendapati, kawasan ini sudah pun mendapat bekalan air sepenuhnya. – UTUSAN