LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak mengusir sebuah bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara di sekitar 20.8 batu nautika barat laut Pulau Jarak dekat sini kelmarin.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kehadiran bot nelayan tradisional Indonesia itu dikesan oleh pesawat udara Maritim Malaysia AS365 N3 pada pukul 1.56 tengah hari semasa rondaan dan pemantauan udara Op Benteng di perairan Selat Melaka.
“Maklumat pengesanan telah disampaikan kepada Kapal Maritim (KM) Gagah yang juga dalam tugasan Op Benteng di Sektor 4.
“Kapak berkenaan terus menghala ke lokasi bagi melakukan pengusiran secara membayangi atau shadowing bot nelayan Indonesia itu keluar dari perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shahrizan berkata, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.
Beliau meminta orang awam dan komuniti maritim sama-sama bertanggungjawab dan bekerjasama membanteras aktiviti jenayah dan kemasukan PATI.
Menurutnya, maklumat membabitkan tekong, ejen serta tali barut boleh disalurkan dengan menghubungi talian bebas tol 011- 6251 1123 atau talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak 05-6838737. -UTUSAN ONLINE