Makam ulama Pahang tidak terjejas dihempap pokok Sena di Ulu Tembeling - Utusan Malaysia

Makam ulama Pahang tidak terjejas dihempap pokok Sena di Ulu Tembeling

BATU nisan Makam Engku Khatib Tun Abdullah tidak terjejas walaupun dihempap pokok sena di makam Bukit Hanggus Kampung Bantal kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Sebuah makam lama milik ulama Pahang, Engku Khatib Tun Abdullah tidak terjejas walaupun dihempap sebatang pokok sena yang tumbang di Makam Bukit Hanggus Kampung Bantal di Ulu Tembeling di sini dua hari lalu. 

Difahamkan pokok sebesar dua pemeluk dewasa itu ditanam pada hari kematian ulama berkenaan. 

Waris ulama tersebut, Datuk Wan Zamzuri Wan Hasenan berkata, turut tidak terjejas akibat dihempap pokok besar berkenaan adalah makam menantu Engku Khatib, iaitu Daing Khatijah anak kepada Menteri Besar Brunei yang berkahwin dengan anakandanya Wan Ahmad. 

Beliau berkata, ekoran hujan lebat dua hari lalu, pokok sena berusia hampir 150 tahun itu tumbang dan menghembap dua makam lama berkenaan.

Menurutnya, berlaku keajaiban kerana batu nisan di makam itu langsung tidak terjejas walaupun dari segi logik ia rosak terkena dahan pokok tumbang.

“Batu nisan Engku Khatib yang disalut kain kuning masih elok tegak berdiri dicelah-celah dahan pokok sena yang tumbang. Kami bersyukur kerana Allah SWT memelihara nisan berkenaan.

“Engku Khatib meninggal pada tahun 1875. Pokok sena itu ditanam di situ selepas dititahkan berbuat demikian oleh Sultan Pahang 1, Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah,” katanya di sini hari ini. 

Engku Khatib atau nama sebenarnya Wan Endut Tun Abdullah ialah tokoh ulamak dari Ulu Tembeling yang ada kaitan dengan Kesultanan Johor-Riau.

Beliau merupakan tokoh agama yang banyak berjasa menyebarkan syiar Islam di kawasan Ulu Pahang pada awal kurun ke-20.

Wan Endut terkenal dengan gelaran Engku Khatib iaitu perkataan arab khatib yang bermaksud  ‘orang yang pandai berpidato’. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya