SEREMBAN: Beberapa kawasan sekatan jalan raya di sempadan negeri ini dan kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) menyaksikan jumlah kenderaan persendirian yang kurang berbanding kebiasaan.
Ini berikutan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bermula hari ini.
Beberapa pengguna jalan di negeri ini ketika ditemui menjelaskan, mereka terpaksa melakukan rentas negeri melalui Selangor dan Putrajaya kerana bekerja selain mempunyai urusan yang perlu diselesaikan.
Juruteknik, Luqman Hakim Kamarudin, 22 berkata, dia mempunyai urusan kerja di Sungai Petani, Kedah dan akan pulang semula ke Seremban sebaik urusannya selesai.
“Saya ada tugasan di Sungai Petani, Kedah hari ini. Selesai tugasan saya terus balik semula ke Seremban. Majikan juga ada memberikan saya surat pelepasan perjalanan sekiranya ada diminta oleh pihak berkuasa.
“Kalau tidak sebab kerja saya pun tidak mahu mengambil risiko merentas negeri pada waktu ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di R&R Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara) di sini hari ini.
Bagi pengusaha ayam kampung, Amirul Aqmal, 28, dia terpaksa berulang alik dari Beranang, Selangor ke Kuala Pilah setiap hari bagi menguruskan ladang ternakan ayamnya itu.
“Saya bukan sengaja mahu rentas negeri tetapi sebab ada kerja. Kalau boleh saya pun nak duduk rumah sahaja. Apa yang saya lihat kebanyakan orang yang keluar kerana mempunyai tugasan kerja masing-masing,” katanya ketika ditemui di sekatan jalan raya di Balai Polis Beranang, Selangor hari ini. -UTUSAN