Lima Geng Fizi dalangi kes pecah rumah ditahan - Utusan Malaysia

Lima Geng Fizi dalangi kes pecah rumah ditahan

ADZLI Abu Shah (kanan) menunjukkan sejumlah wang tunai yang dirampas daripada ahli Geng Fizi di Sungai Petani hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis menumpaskan kegiatan pecah rumah rumah yang didalangi Geng Fizi dengan menahan lima suspek dan merampas wang tunai bernilai RM105,000 dalam lima serbuan berasingan di sini dan Kuala Lumpur sejak 19  September hingga 1 Oktober lalu.

Penahanan kesemua suspek termasuk dua beranak itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di bandar ini, Bukit Selambau dan Baling serta Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Polis juga merampas 12 beg tangan pelbagai jenama mewah daripada lima suspek terbabit. 

 Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua suspek ditahan selepas menerima laporan mengenai satu kes pecah rumah di Bandar Utama di sini dengan nilai kerugian sebanyak RM2 juta pada 14 September lalu.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap itu berusia antara 26 hingga 56 tahun.

“Dua daripada lima suspek yang ditahan adalah suspek utama, seorang merupakan pembeli barangan yang dicuri manakala dua orang lagi ditahan untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kuala Muda di sini hari ini.

Beliau menambah, hasil semakan ke atas lima suspek yang ditahan mendapati empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dengan kes jenayah dan dadah manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek utama yang berusia 31 tahun itu dikesan mempunyai 37 rekod jenayah lampau membabitkan 31 kes jenayah dan enam kes dadah.

Adzli memberitahu, penahanan ahli Geng Fizi ini juga polis berjaya menyelesaikan sembilan kes pecah rumah di bandar ini.

Tambahnya, polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek dipercayai teman wanita salah seorang suspek yang telah ditahan bagi membantu siasatan kes ini.

“Kes ini sedang siasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Merbahaya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN