KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menerima tamparan hebat apabila lima Ahli Parlimen bertindak mengusulkan undi tidak percaya terhadap beliau.
Mereka terdiri Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Dr. Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) serta Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).
Usul tersebut dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azhar Azizan Harun semalam serta resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin selaku Ahli Parlimen Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3) dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Dalam kenyataan Amiruddin, tindakan itu diambil ketika keretakan mulai melanda kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta UMNO mengancam untuk menarik sokongan daripada gabungan tersebut.
“Saya telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat berkenaan usul tidak percaya terhadap YAB Perdana Menteri bertarikh 15 Oktober 2020 untuk sesi sidang Parlimen yang akan datang.
“Usaha ini adalah demi menjunjung prinsip mengembalikan mandat rakyat dalam PRU14 dan solidariti atas sebuah kerajaan yang tidak kompeten dan stabil. Bagaikan telur di hujung tanduk,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr. Mahathir sebelum ini telah mengemukakan usul tidak percaya dalam dua sesi di Dewan Rakyat terhadap Muhyiddin.
Namun, usul tersebut tidak dibahas kerana Parlimen mengutamakan usul dan rang undang-undang kerajaan berbanding pembangkang.
Persidangan Dewan Rakyat akan bermula pada 2 November dengan menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021, yang juga boleh menentukan sokongan terhadap Muhyiddin.
Pada masa ini, Muhyiddin memperoleh sokongan 113 anggota Parlimen daripada jumlah keseluruhan 222 anggota Parlimen.
Ini bermaksud kerajaan pimpinannya akan tumbang sekiranya ada tiga anggota Parlimen melompat parti. – UTUSAN ONLINE