KUANTAN: Seorang peruncit berusia 40 tahun kerugian RM93,809 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar kakitangan pejabat Pos dan anggota polis.
Kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang perempuan yang memperkenalkan diri pekerja pejabat pos.
Semasa perbualan itu, mangsa dimaklumkan terdapat bungkusan menggunakan alamatnya untuk dihantar dari Kedah ke Negeri Sembilan dan kemungkinan identitinya digunakan pihak lain.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada lelaki menyamar anggota polis.
“Mangsa bercakap dengan ‘Koperal Zakaria’ yang mendakwa wanita berkenaan mempunyai rekod jenayah dalam kes pengubahan wang haram dan memiliki waran tangkap.
“Panggilan disambungkan kepada ‘Sarjan Joshua’ dan memperkenalkan mangsa kepada ‘Inspektor Mazlan’ dan ‘Inspektor Baharun’ yang boleh menyelesaikan kes itu,” katanya di sini hari ini.