JOHOR BAHRU: Pemandu Toyota Vios cedera parah selepas kereta dipandunya hilang kawalan sehingga terbabas melanggar sebuah kedai serbaneka berhampiran Jalan Abdullah Tahir di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, dalam kejadian pukul 3.40 pagi, lelaki berusia 25 tahun itu dalam perjalanan dari Jalan Abdullah Tahir menghala ke Jalan Tebrau.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu lelaki itu dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebuah kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam berkenaan.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu telah mengalami kecederaan parah dan masih menerima rawatan di wad unit penjagaan rapi (ICU) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Padzli berkata, kesan pelanggaran tersebut menyebabkan kedai serbaneka berkenaan mengalami kerosakan teruk.
Bagaimana pun beliau berkata, semasa kejadian itu berlaku, hanya seorang sahaja pekerja berada di kedai tersebut dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan masih dijalankan terhadap lelaki tersebut sama ada dirinya memandu di bawah pengaruh alkohol ataupun tidak.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat di peringkat awal,” ujarnya. -UTUSAN