PENDANG: Seorang lelaki ditemukan lemas dipercayai terjatuh ketika memukat ikan di Sungai Banggol Temak di sini hari ini.
Peralatan memukat dan sebuah motosikal dipercayai milik mangsa yang berusia 50-an ditemukan di tempat kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung penemuan mayat berkenaan pada 9.24 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd. Farid Abdullah tiba di lokasi pada 9.39 pagi.
“Operasi disertai enam anggota dan dua jentera dari BBP Pendang.
“Polis meminta bantuan daripada bomba untuk mengangkat mayat lelaki ditemukan di sungai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini identiti mangsa belum diketahui,” katanya.
Habis