Lebih setengah juta kotak rokok John tiruan bernilai RM3 juta disita - Utusan Malaysia

Lebih setengah juta kotak rokok John tiruan bernilai RM3 juta disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Helah sebuah syarikat pengimport kononnya rokok yang disimpan di Pelabuhan Klang untuk tujuan eksport semula akhirnya gagal apabila didapati ia sebenarnya bagi pasaran tempatan.

Malah, hasil pemeriksaan awal terhadap ciri fizikal kotak produk tersebut yang amat meragukan itu turut membongkarkan kegiatan haram pengedaran rokok tiruan di pelabuhan berkenaan pada 21 Oktober lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman yang memberitahu, operasi melibatkan sembilan pegawai itu berdasarkan maklumat risikan dan kemudian serbuan dilakukan bersama wakil pemilik cap dagang jenama John.

“Sejumlah 520,000 kotak rokok yang disyaki tiruan disimpan di salah satu kontena di pelabuhan telah dirampas untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM3.38 juta,” jelas beliau dalam kenyataan di sini semalam.

Katanya, siasatan awal yang dijalankan KDNHEP mendapati barang ini diimport dari luar negara oleh sebuah syarikat beroperasi di Petaling Jaya, Selangor yang disimpan secara sementara di Pelabuhan Klang.

Kes itu ujarnya, disiasat di bawah seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekalkan atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM250,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, denda boleh cecah sehingga RM500,000 selain penjara atau kedua-duanya sekali.

Iskandar Halim turut memberi amaran kepada individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dan hormati harta intelek orang lain kerana tindakan tegas mengikut undang-undang boleh dikenakan.

“Kes pengedaran rokok tiruan ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.

Orang ramai yang ada maklumat berkaitan aktiviti salah itu disaran melaporkan melalui talian 1-800-886-800, whatsapp 019-2794317 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC).

Maklumat berkenaan juga ujar beliau, boleh diberi dengan hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil secara lebih efektif. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN