Lebih RM1.7b peruntukan tangani Covid-19 - Utusan Malaysia

Lebih RM1.7b peruntukan tangani Covid-19

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM1.7 bilion bagi  memerangi penularan Covid-19 yang disalurkan melalui 14 kementerian dan kerajaan negeri sejak Februari lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini termasuk peruntukan sebanyak RM1 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM); RM250 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan RM247 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurut beliau, kerajaan tidak teragak-agak untuk menambah peruntukan kewangan sekiranya perlu untuk berbuat demikian terutamanya bagi memenuhi keperluan petugas barisan hadapan. 

“Di saat gelombang terbaharu Covid-19 melanda Sabah, kerajaan melalui KKM, telah  menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM44 juta untuk mengukuhkan barisan  hadapan kesihatan negeri. 

“Ini meliputi penambahan peralatan perlindungan diri (PPE), bekalan perubatan dan kelengkapan perubatan seperti katil pesakit serta alat  bantuan pernafasan atau ventilators,” 

katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, selain itu, kerajaan melalui Majlis Keselamatan  Negara (MKN) baru-baru ini juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada Nadma untuk menyokong usaha menangani penularan wabak  tersebut. 

Beliau menjelaskan, kedua-dua peruntukan tambahan itu selaras dengan komitmen bagi  memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi peningkatan jangkitan Covid-19 di  seluruh negara. 

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, sejak Februari lalu, kerajaan telah menerima  sejumlah RM44.7 juta dalam bentuk derma daripada pihak individu, perniagaan dan  juga pelbagai organisasi untuk membantu kerajaan menangani wabak ini.

Katanya, dana itu hanya untuk kegunaan memerangi wabak berkenaan dan setakat ini, sebanyak RM33.1 juta telah digunakan untuk pembelian PPE dan  kelengkapan perubatan yang dibekalkan kepada institusi kesihatan di seluruh negara. 

“Kerajaan sangat tersentuh dengan sokongan orang ramai, termasuk komuniti perniagaan yang mendalami semangat #kitajagakita, melalui sumbangan derma berbentuk tunai, makanan, peralatan kesihatan dan pelbagai lagi bagi menangani wabak Covid-19.  

“Ini termasuk sumbangan kepada Tabung Covid-19 KKM yang telah diaktifkan semula pada 16 Oktober lalu atas permintaan pelbagai pihak yang ingin membuat  sumbangan tunai susulan peningkatan kes jangkitan baru-baru ini. 

“Tabung ini telah dilancarkan pada kali pertama dari 23 Mac hingga 31 Mei lalu sebagai satu usaha untuk memudah cara niat murni rakyat yang ingin memberikan sumbangan secara sukarela. 

Ujarnya, penyediaan saluran rasmi ini juga bertujuan mengurangkan risiko orang ramai ditipu oleh pihak tidak  bertanggungjawab, sekali gus memastikan derma yang dihulurkan akan mencapai  objektifnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN