JOHOR BAHRU: Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) meneruskan usaha Tunku Laksamana Johor, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim untuk mengumpul dana bagi membantu pesakit kanser terutamanya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dengan penganjuran acara larian Laksamana Run.
Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ, Mohd. Ikmal Izam Zaini berkata, sebaliknya trend acara larian kali ini adalah bentuk maya (virtual) selaras norma baharu susulan pandemik virus Covid-19 yang melanda negara pada ketika ini.
Katanya lagi, sejajar format tersebut, seluruh rakyat Malaysia kini boleh menunjukkan sokongan kepada pesakit kanser ini dengan menyertai Laksamana Virtual Colour Run secara maya.
“Oleh kerana acara larian diadakan secara maya, maka para peserta boleh mengadakan aktiviti larian pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada. Apa yang peserta perlu lakukan ialah memuat turun aplikasi JomRun dan membuat pendaftaran bagi Laksamana Virtual Colour Run yang kini sudah dibuka sehingga 31 Oktober ini.
“Peserta yang sudah berdaftar akan menerima kelengkapan larian dan boleh mengambil bahagian dengan melakukan larian di mana mereka berada bermula dari 1 November hingga 10 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Ikmal berkata, acara itu masih mengekalkan konsep larian berwarna bagi memastikan acaranya tetap meriah seperti mana penganjuran edisi pertamanya pada tiga tahun lalu.
Selain itu, katanya lagi, bagi merancakkan acara larian virtual ini, YKTLJ turut menganjurkan peraduan foto dan video kreatif bertemakan ‘Embrace Your Colours’ serta acara cabutan bertuah.
“Pemenang akan dipilih dan diumumkan menerusi Facebook live di Facebook rasmi Laksamana Run pada 12 Disember ini,” katanya.
Menariknya tahun ini, baju T eksklusif Laksamana Run dipilih sendiri oleh Penaung Diraja Laksamana Run, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim. -UTUSAN