Geng Sahar aktif pecah masjid ditahan bawah Akta POCA - Utusan Malaysia

Geng Sahar aktif pecah masjid ditahan bawah Akta POCA

LOW HANG SENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kumpulan penjenayah Geng Sahar yang aktif dalam jenayah pecah masuk surau dan masjid tumpas apabila dua anggotanya ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA).

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, dua lelaki itu berusia lingkungan 21 dan 22 tahun telah direman 21 hari di bawah akta tersebut.

Katanya, kumpulan berkenaan didapati melakukan pecah masuk surau dan masjid sejak Januari lalu dengan mensasarkan peralatan elektrik dan tabung kutipan.

Beliau berkata, dengan tertumpasnya kumpulan itu sebanyak lapan kes pecah masuk surau dan masjid di daerah ini berjaya diselesaikan.

“Bertindak atas maklumat pada pertengahan bulan lalu, anggota Balai Polis Simpang Renggam telah membuat tangkapan semula dua lelaki berumur lingkungan 21 hingga 22 tahun.

“Kedua-dua tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing tangkapan juga positif dadah.

“Selain itu polis merampas pelbagai barangan seperti beg jenama Under Armour, sepana paip, pemotong besi, pemutar skru Philip, playar cekam ragum, dua topi keledar jenama SGV, sehelai jaket dan sebuah motosikal Yamaha 135 LC,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, orang ramai diingat agar tidak membeli barang yang dijual murah tanpa mengetahui asal-usulnya atau tanpa dokumen.

“Perbuatan itu merupakan satu kesalahan dan jika ditangkap boleh didakwa di atas kesalahan memiliki barang curi penjara.

“Kesalahan melupus barang curi pula boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih dari tujuh tahun,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat harus peka dengan keadaan berlaku di persekitaran dengan menyalurkan maklumat jenayah kepada polis supaya kes dapat ditangani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN