PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersiap siaga menghadapi musim banjir pada akhir tahun ini di seluruh negara.
Perkara itu ditegaskan Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman menerusi kenyataan media yang turut menerangkan langkah diambil oleh pihaknya.
Ini juga demi memastikan pemantauan secara berterusan pengedaran barang keperluan tidak terganggu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember ini.
“Sehubungan itu, bahagian ini telah menyediakan Pelan Kontinjensi Kawal Seliaan Bekalan Barang Kawalan dan Keperluan Asas dalam menghadapi fenomena bencana alam,” katanya.
Ia ujar beliau, sebagai langkah proaktif untuk berdepan dengan banjir hujung tahun ini dengan memastikan bekalan penting tidak terputus dan mencukupi ketika musim tengkujuh kelak.
Lima tindakan melalui pelan itu yang akan bemula awal November ini jelas Iskandar Halim, termasuk mengakitifkan Pusat Arahan Penguatkuasaan di negeri terlibat dengan bencana.
“Bahagian Penguat Kuasa juga akan giat buat pemeriksaan dan pemantauan ke atas rantaian pengedaran barang makanan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit,” katanya lagi.
Malahan, pihak pemborong dan peruncit terpilih akan dibenarkan untuk membuat penambahan had simpanan barang kawalan dan keperluan asas sehingga 30 peratus daripada kebiasaan.
Selain itu, pengeluar dan pengimport industri produk kawalan dan keperluan asas turut akan dilibat urus bersama pihak agensi kerajaan lain yang dalam isu pengurusan bencana alam.
“Bahkan buat julung kali, Bahagian Penguat Kuasa akan bantu kumpulan sasar terus melalui pengagihan lebihan makanan yang disimpan menerusi program ‘food bank’,” tambah beliau.
Iskandar Halim turut beri amaran tindakan tegas ke atas pihak yang cuba ambil kesempatan seperti menyeleweng, menyorok, enggan menjual atau mengenakan syarat jualan tertentu.
Pihak berkenaan jika ditahan sepanjang bencana alam tersebut masih lagi boleh didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011. -UTUSAN ONLINE