Koperasi jalin kerjasama bekal makanan pasaran antarabangsa - Utusan Malaysia

Koperasi jalin kerjasama bekal makanan pasaran antarabangsa

MOHD. Izhar Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan sijil serta wang kepada pelajar cemerlang selepas Majlis Perasmian Mesyurarat Agong Perwakilan Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad Kali Ke-25 di KSL Hotel dan Resort, Johor Bahru hari ini. - FOTO/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad akan menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Negeri Johor dalam mencetuskan inisiatif ‘food bank’ khususnya membabitkan pembekalan daging lembu.

Presidennya, Ahmad Daud berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak itu dijangka bermula pada awal tahun depan.

Katanya, langkah itu ekoran saranan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang mahu koperasi menjalin kerjasama bagi meningkatkan daya saing.

“Dalam pertemuan dengan Menteri Besar pada Julai lalu, beliau mahu sektor koperasi memainkan peranan lebih aktif untuk membantu kerajaan negeri khususnya melibatkan ‘food bank’.

“Ini melibatkan pembekalan makanan bagi memenuhinya keperluan pasaran selatan tanah air, termasuk bagi pasaran Singapura,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung koperasi berkenaan di sini hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Izhar Ahmad.

Menurut Ahmad lagi, pihaknya juga mempunyai perancangan untuk mengusahakan pembekalan daging ayam dan telur ayam menerusi kerjasama dengan pihak berlainan.

“Ketika ini kita juga berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan pembekal ayam terbesar di utara tanah air iaitu di Kedah. 

“Ini perancangan kita ketika ini iaitu hendak meluaskan lagi penglibatan koperasi dalam pelbagai sektor yang dapat memberi pulangan lebih,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN