Koperal maut motosikal terperosok bawah SUV - Utusan Malaysia

Koperal maut motosikal terperosok bawah SUV

KEADAAN mangsa yang terperosok di bawah SUV dalam kemalangan di Jalan Tambak Paya-Tehel, Melaka malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang anggota polis berpangkat koperal maut ketika dalam perjalanan untuk bertugas selepas motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Tambak Paya-Tehel, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam, mangsa, Muhammad Siddiq Esa, 25, yang bertugas di Balai Polis Lenga, Muar, Johor meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dalam perjalanan dari rumahnya di Jasin menghala ke Muar.

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan Xtrail yang dipandu seorang wanita berusia 27 tahun tiba-tiba membuat pusingan U kerana ingin ke kedai berhampiran.

“Mangsa bagaimanapun gagal mengelak SUV tersebut dan merempuh bahagian sisi kenderaan itu menyebabkannya terperosok di bawah kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala pemandu kenderaan itu juga telah dibawa ke hospital sama untuk ujian sampel darah sebelum dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pengesanan dadah dan alkohol,” katanya. 

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya