Kluster baharu direkodkan di Johor - Utusan Malaysia

Kluster baharu direkodkan di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kluster Rinting yang merupakan kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini kelmarin telah dikenal pasti menerusi hasil saringan pra pekerjaan pada 7 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kluster berkenaan melibatkan daerah Melaka Tengah, Melaka dan daerah Johor Bahru di negeri ini.

Katanya, saringan kontak sejurus itu telah dijalankan dan berjaya mengesan tujuh lagi kes positif Covid-19.

“Sehingga malam, kumulatif kes positif yang dikesan daripada kluster ini adalah sebanyak 10 kes. 

“Sejumlah 167 orang kontak telah dikenal pasti di mana 114 adalah negatif dan 53 orang masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Vidyananthan, jumlah Kluster Bakawali yang dilaporkan berlaku pada 29 September lalu adalah kekal 15 kes dan sehingga semalam sejumlah 357 kontak rapat yang telah dikenal pasti dan kesemua mereka adalah negatif. 

Katanya, kluster itu masih lagi di dalam pemantauan dan dijangka tamat pada 28 Oktober ini.

Dalam pada itu, terdapat 10 kes baharu yang telah dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor melibatkan lima kes daripada saringan kontak rapat kes positif, empat kes daripada kluster aktif sedia ada dan satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah.

“Sehingga semalam, kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan di Johor adalah sebanyak 826 kes di mana 55 kes aktif, 750 kes sembuh dan 21 kematian dilaporkan setakat ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN