JOHOR BAHRU : Walaupun negara berulang-ulang kali digemparkan dengan pencemaran sungai, namun masih terdapat kilang yang tidak mengambil endah meskipun pihak berkuasa pernah mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkenaan.
Terbaru, pencemaran berlaku di Sungai Sembrong, Kluang sehingga menyebabkan banyak ikan mati sekali gus telah menjejaskan mata pencarian penduduk Orang Asli dalam dua kejadian yang dilaporkan berlaku pada 2 Jun dan 12 Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri, R. Vidyanathan berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor kemudian melancarkan Ops Gempur selama dua hari berturut-turut bermula 29 dan 30 September lalu dan berjaya mengeluarkan 115 kompaun terhadap premis kilang terlibat masing-masing berjumlah RM2,000.
“Selain kompaun, sebanyak 55 premis yang tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah diperiksa dan hasil daripada tindakan penguatkuasaan dilaksanakan itu, pihak terlibat dikenakan tindakan iaitu 55 arahan di lapangan, 26 notis arahan, tiga penahan kelengkapan operasi manakala satu kertas siasatan telah dibuka.
“Ops Gempur yang dilaksanakan ini melibatkan seramai 45 anggota penguat kuasa JAS Johor bertujuan untuk mengesan premis yang didapati melanggar undang-undang alam sekitar negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Vidyanathan menegaskan, pihaknya memandang serius kejadian pencemaran itu yang bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar tetapi juga menjejaskan kehidupan penduduk untuk mencari sumber pendapatan di sungai itu.
Katanya lagi, JAS Johor akan terus menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan secara berkala ke atas punca-punca industri yang melepaskan air buangan ke Sungai Sembrong, Kluang dan sungai-sungai lain di daerah Kluang.
“Oleh itu, orang ramai juga digesa untuk membantu JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1800882727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya. -UTUSAN