Kilang makanan didakwa punca pencemaran di Kampung Baru Balakong - Utusan Malaysia

Kilang makanan didakwa punca pencemaran di Kampung Baru Balakong

Pelepasan air berwarna putih berlaku melalui saluran paip daripada kilang berasaskan makanan yang menjadi punca pencemaran di alur Sungai Balak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah kilang berasaskan makanan didapati menjadi punca pencemaran air di Sungai Balak berdekatan Kampung Baru Balakong, Kajang baru-baru ini.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar berkata, pihaknya telah melakukan siasatan sejurus menerima aduan pencemaran berkaitan tumpahan minyak hitam di Sungai Balak. 

Menurutnya, pihaknya telah memasuki kilang tersebut dan menemukan punca luahan air berwarna putih yang mengandungi cecair hitam berminyak yang mengalir secara berterusan ke Sungai Balak. 

“Siasatan juga mendapati efluen mentah dan lelehan minyak hitam telah mengalir memasuki longkang kilang dan seterusnya memasuki satu saluran paip bawah tanah yang mengalir ke Sungai Balak.

“Kita telah mengarahkan operasi pengeluaran kilang berkenaan diberhentikan serta merta sehingga tindakan pembaikan diambil oleh pihak kilang melalui Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran air sungai di Kampung Baru Balakong yang mana terdapat minyak hitam yang terapung dikesan di atas permukaan alur air.

Dalam pada itu, jelas Norlin, pihaknya juga telah mengeluarkan Perintah Larangan (PL) di bawah Peraturan 30, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 bagi melarang pengendalian proses perindustrian untuk satu tempoh sehingga langkah-langkah pemulihan seperti mana diarahkan itu dipatuhi.

“Sebanyak tiga sampel diambil dan telah dihantar ke Jabatan Kimia dan keputusan analisis kimia dijangka diperolehi dalam masa terdekat.

“Kertas siasatan telah dibuka untuk pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. 

“Kita memberi amaran keras kepada pihak industri supaya bertanggungjawab menguruskan sisa efluen mengikut undang-undang yang telah ditetapkan demi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, pihaknya telah mengarahkan melakukan kerja-kerja penutupan (plug) saluran haram ke Sungai Balak dan menjalankan kerja-kerja pembersihan sungai yang telah tercemar. 

“Kita telah mengeluarkan arahan agar kerja pembersihan kawasan-kawasan sungai yang tercemar petang semalam,” ujarnya.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di  talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. – UTUSAN ONLINE

 

Habis///

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya