KLUANG: Pencemaran Sungai Sembrong Kiri berpunca daripada sebuah kilang kelapa sawit berhampiran dan sekali gus menyebabkan penutupan Ioji air Semberong Timur.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyanathan berkata, siasatan Ianjut mendapati bahawa benteng pada kolam tadahan sebuah kilang kelapa sawit itu telah pecah.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Kluang telah menerima aduan mengenai pencemaran air Sungai Sembrong Kiri yang menyebabkan air bertukar warna menjadi kehitaman.
“Jabatan itu kemudian mengeluarkan arahan serta-merta untuk menghentikan operasi kilang semasa penguatkuasaan dijalankan.
“Manakala pihak kilang telah membaiki benteng yang pecah dan air dari kolam dapat dikawal daripada terus melimpah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, JAS Negeri Johor menetapkan penggantungan lesen kilang kelapa sawit tersebut selama tiga bulan bermula semalam sehingga 14 Januari 2021.
“Ini kerana kegagalan pihak kilang mematuhi syarat-syarat lesen sepenuhnya terutamanya kegagalan untuk memastikan kolam-kolam pengolahan dibenteng dengan sempurna dan berfungsi dengan baik.
“Notis Arahan juga dikeluarkan supaya pihak kilang segera menjalankan kerja-kerja pembaikan. Lesen hanya akan diserah semula jika JAS berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, orang awam mempunyai sebarang maklumat tambahan berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi talian bebas tol 1800882727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. -UTUSAN