JOHOR BAHRU: Sebanyak 2,675 aiskrim dan 273 gulung plastik yang menggunakan logo halal tidak diperakukan disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Pontian dalam satu serbuan semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Pontian, Md. Arifin Baharin berkata, serbuan itu dijalankan pihaknya di sebuah kilang memproses aiskrim di Kampung Parit Marjunit, Benut, Pontian pada pukul 11.30 pagi semalam.
Menurut beliau, serbuan itu melibatkannya seramai lapan anggota KPDNHEP dan empat pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“Kita menjalankan operasi setelah mendapat aduan JAINJ berkenaan penggunaan logo halal yang tidak mendapat perakuan di sebuah kilang.
“Pemeriksaan dibuat mendapati premis berkenaan mengeluarkan produk ais krim dengan menggunakan logo halal yang menimbulkan syak.
“Sehubungan itu kita menyita 2,675 aiskrim pelbagai perisa bernilai RM28,640, 273 gulung plastik bungkusan aiskrim bernilai RM31,122. Keseluruhan sitaan berjumlah RM59,762,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Md. Arifin, kilang berkenaan didapati melakukan kesalahan dan melanggar Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana memperihalkan ais krim yang dibekalkan sebagai halal serta boleh dimakan masyarakat Islam.
“Pihak berkenaan didapati melanggar kesalahan dibawah Perintah 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” tambahnya. -UTUSAN