Ketua kampung antara lima ditahan miliki air ketum - Utusan Malaysia

Ketua kampung antara lima ditahan miliki air ketum

Tok Beng Yeow
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seorang ketua kampung merupakan lima lelaki termasuk ditahan kerana memiliki sejumlah 9.5 liter air ketum di sebuah pondok wakaf dan rumah di Felda Bukit Batu, Air Bemban di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kesemua suspek ditahan berusia antara 25 hingga 52 tahun.

Katanya, antara yang ditahan dalam serbuan pada pukul 10.30 malam itu termasuklah seorang lelaki warganegara Myanmar.

“Berdasarkan maklumat orang awam, polis bertindak menahan lima lelaki, termasuk ketua kampung berkenaan yang berusia 52 tahun kerana memiliki air ketum.

“Ketika serbuan dibuat, ketua kampung berkenaan sedang meminum air itu bersama tiga rakannya di pondok manakala warga asing berkenaan ditahan di sebuah rumah berhampiran.

“Hasil pemeriksaan mendapati sembilan paket lutsinar berisi air ketum dengan kandungan satu liter setiap paket serta satu botol minuman Coke berisi 0.5 liter air ketum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek beserta barang rampasan dikenakan tahanan reman bermula hari ini hingga 18 Oktober bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan maksimum empat tahun penjara serta denda tidak lebih RM10,000,” ujarnya lanjut. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN