Kesan individu larikan diri daripada Temco - Utusan Malaysia

Kesan individu larikan diri daripada Temco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Polis akan mengesan segelintir penduduk di Flat Sungai Emas dan perumahan teres Taman Sungai Emas di sini yang sempat keluar daripada kawasan tersebut sejurus arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (Temco) dikeluarkan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azizan Tukiman berkata, mereka yang melarikan diri itu menggunakan laluan tikus yang terdapat di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, jumlah mereka yang sempat melarikan diri ini tidak ramai kerana pemantauan sentiasa dijalankan termasuk sekatan jalan raya diadakan bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak dua minggu lalu.

“Malah, jalan masuk bagi kawasan flat dan perumahan teres ini hanya terdapat satu laluan sahaja. Sebarang pergerakan keluar dan masuk akan melalui sekatan jalan raya yang kita lakukan.

“Bagaimanapun, kita akan mengesan mereka yang sempat melarikan diri ini. Mereka yang tinggal di sini jangan lari untuk lakukan ujian saringan Covid-19, malah pemeriksaan juga dibuat secara percuma,” katanya dalam sidang akhbar di Temco berkenaan di sini hari ini.

Flat Sungai Emas dan Jalan Emas 31 dan 32, Taman Sungai Emas di sini dengan keluasan 5.9 hektar telah dilaksanakan Temco sehingga 10 November hadapan bermula hari ini melibatkan kira-kira 300 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pusat Kesihatan Daerah dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Mengulas lanjut, Azizan berkata,Temco selama 14 hari yang dijalankan dua kawasan tersebut dipercayai lebih mudah berikutan 99 peratus daripadanya merupakan warga tempatan dan selebihnya warga asing yang mempunyai majikan. 

“Setakat ini, tiada cubaan melarikan diri dikesan dilakukan oleh penduduk dengan kawalan ketat sentiasa dilakukan oleh pihak berkuasa,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya