KUALA LUMPUR : Seorang lagi individu bergelar Datuk Seri akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.
Selain suspek, tiga ahli perniagaan akan direman berkaitan kes sama selepas lima individu bergelar Datuk Seri dan Datuk ditahan SPRM semalam.
Menurut sumber, beberapa selebriti tanah air juga kini sudah berada di dalam ‘radar’ perhatian SPRM yang dikatakan mempunyai kaitan dengan mereka.
“SPRM bagaimanapun belum memanggil kesemua mereka memandangkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Selain pasangan suami isteri selebriti, SPRM juga ada memanggil seorang usahawan kosmetik kelmarin untuk membantu siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam , lima individu terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya di sini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Kelima suspek yang terdiri tiga lelaki dan dua wanita termasuk pasangan suami isteri tiba di mahkamah berkenaan pada pukul 3 petang dengan memakai baju lokap SPRM berwarna oren.
Butiran mengenai tempoh reman kesemua individu terbabit bagaimanapun tidak dikongsi SPRM walaupun pihak media menunggu hampir lima jam di luar mahkamah tersebut.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan suruhanjaya itu akan membawa kesemua lima suspek bagi mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya. – UTUSAN ONLINE