Kertas siasatan pencemaran bau di Sungai Selangor dibuka - Utusan Malaysia

Kertas siasatan pencemaran bau di Sungai Selangor dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran bau di Sungai Selangor yang mengakibatkan kira-kira lima juta pengguna terjejas dibuka.

Mengesahkan perkara tersebut, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kertas siasatan tersebut dibuka selepas pihaknya menerima laporan dan akan mengambil semua keterangan dalam siasatan pencemaran air berkenaan.

“Siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengenali pasti mereka yang terlibat.

“Sampel air perlu diambil untuk dianalisis bagi mengetahui punca atau lokasi sebenar berlakunya pencemaran tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut  Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, sebanyak 1,196,457 akaun mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.

Henti tugas di empat LRA itu susulan berlakunya pencemaran sumber air mentah telah dikesan di Sungai Selangor dan melibatkan 1,292 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. 

Susulan pencemaran bau itu, beberapa kilang yang beroperasi secara haram dipercayai menjadi punca berlakunya pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN