KUALA SELANGOR: Kerajaan negeri menafikan wujud kilang-kilang di pinggiran sungai yang didakwa menjadi punca berlakunya pencemaran sumber air mentah.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, tiada sebarang industri atau kilang di laluan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya ada sekali pun, jarak kilang adalah lebih 30 hingga 50 kilometer.
“Kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen dalam perkara ini dan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung pada awal November hadapan kita akan meminda undang-undang berkaitan dengan denda antara RM200,000 hingga RM1juta dan penjara sehingga tiga tahun.
“Malah, kita juga akan menawarkan ganjaran RM20,000 kepada individu yang menyampaikan maklumat berhubung individu atau pihak yang ingin melakukan pencemaran ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 di sini hari ini.
Terdahulu, turut melakukan tinjauan ke lokasi tersebut ialah Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dalam pada itu, Loy Sian juga berkata, kerajaan negeri akan menggunakan dron berteknologi tinggi dalam memantau sungai-sungai di negeri ini pada tahun depan.
“Penggunaan dron selepas mendapat kelulusan RM20juta dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam mengelakkan isu pencemaran sehingga berlakunya henti tugas terhadap Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor.
“Pemantauan dilakukan dalam mengambil sampel-sampel air termasuk untuk ujian dengan lebih berkesan dan tepat. Dron ini juga boleh memasuki tempat-tempat terpencil untuk tujuan sama,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan Twitternya berkata, kerajaan negeri telah membuat laporan polis berhubung kes pencemaran di Sungai Selangor sehingga menyebabkan empat loji rawatan air dihenti tugas.
“Bekalan air akan mula disalur apabila bacaan cecah 0 ton dan usaha pemulihan pencemaran sedang giat dilaksanakan.
“Pencemaran dijangka pulih petang ini dan bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat selepas itu,” katanya. -UTUSAN