SHAH ALAM: Dalam memantau aktiviti pencemaran sumber air di Selangor, kerajaan negeri akan menggunakan teknologi dron.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam ciapan Twitternya berkata, penggunaan dron itu sebagai langkah efektif dalam melakukan pemantauan terutama dalam mencegah pencemaran.
“Kerajaan negeri akan menggunakan dron untuk memantau Lembangan Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat.
“Dron ini juga berupaya mengumpul sampel air dan mengesan wajah pencemar sumber air pada waktu malam,” katanya.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian memaklumkan penggunaan dron itu selepas mendapat kelulusan RM2 juta dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).
Menurut beliau, penggunaan dron ini seterusnya dapat mengelakkan isu pencemaran sehingga berlakunya henti tugas terhadap LRA di Selangor sehingga mengakibatkan gangguan air tidak berjadual.
Malah, dalam sidang akhbar selepas meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri menawarkan RM20,000 kepada mana-mana individu yang menyalurkan maklumat sekiranya terdapatnya pencemaran. -UTUSAN