Kerajaan dituduh amal ketegasan selektif - Utusan Malaysia

Kerajaan dituduh amal ketegasan selektif

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Langkah tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menyebabkan kerajaan kini terpalit amalan ketegasan selektif.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia secara tidak langsung telah menambahkan lagi kemarahan rakyat.

Beliau menegaskan rakyat pasti kecewa apabila Mohd. Khairuddin tidak didakwa kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Ada dua alasan kenapa keputusan itu dipersoalkan iaitu pertama kenapa terlalu lama untuk disiasat dan diputuskan? Pihak berkuasa macam bermain masa untuk mencari alasan.

“Keduanya adalah kerajaan dilihat tidak tegas. Pegawai Kementerian Kesihatan yang kononnya tidak memberi borang 14b kepada Mohd. Khairuddin telah dijadikan ‘Kambing Hitam,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Semalam, Jabatan Peguam Negara memutuskan tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap Mohd. Khairuddin berhubung pelanggaran perintah kuarantin.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, keputusan itu dibuat memandangkan tiada keterangan kukuh bagi meme­nuhi beban bukti yang diperlukan di bawah undang-undang.

Dalam pada itu, Mohd. Puad selaku Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat mempersoalkan tindakan Mohd. Khairuddin yang gagal melakukan kuarantin kendiri.

Katanya, sedangkan rakyat biasa yang balik dari Sabah sebelum tarikh 27 September mengambil tanggungjawab dan inisiatif sendiri melakukan kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Ada yang mengeluarkan belanja sendiri untuk melakukan ujian. Bukan itu sahaja ada yang melakukannya sampai dua kali.

“Maka dari segi moral sepatutnya sebagai Menteri, Mohd. Khairuddin lebih mengetahui tanggungjawab beliau untuk melakukan kuarantin kendiri. Takkan itu tidak boleh fikir?,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN