Kepercayaan rakyat terhadap politik rendah - Naib Presiden Bersatu - Utusan Malaysia

Kepercayaan rakyat terhadap politik rendah – Naib Presiden Bersatu

Mohd. Rafiq Naizamohideen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kemelut politik yang melanda negara dalam tempoh tidak sampai setahun meletakkan kepercayaan rakyat kepada pemimpin politik dan parti-parti politik berada pada tahap terendah ketika ini.

Demikian disuarakan Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen yang percaya rakyat menuntut segala ‘pergeseran’ politik negara segera ditamatkan.

Katanya, kemelut berpanjangan dan tidak berkesudahan itu juga menyebabkan rakyat semakin meluat apatah lagi ketika negara masih berjuang melawan pandemik Covid-19 daripada menular dan kembali mencatatkan peningkatan.

“Rakyat sedang memerhati dan menilai tindak-tanduk kita, saya yakin jika berterusan begini Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan menjadi medan rakyat untuk menghukum mana-mana parti atau pemimpin yang meletakkan kepentingan diri lebih berbanding kepentingan nyawa dan kesihatan rakyat. 

“Lihat sahaja di media sosial, rakyat menuntut untuk semua pihak melakukan gencatan politik segera agar dapat fokus kepada usaha menangani impak Covid-19 dan pemulihan ekonomi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Lantaran itu, Mohd. Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput menggesa semua ahli politik mentaati titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar bermuhasabah supaya negara tidak lagi diheret dalam kemelut politik tidak menentu.

“Saya berpendapat jika semua parti menghayati nasihat Seri Paduka Baginda tidak akan ada krisis atau masalah yang boleh menganggu-gugat kestabilan negara,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau percaya sebarang kenyataan berkenaan ketidakpuasan hati sesama rakan kerjasama politik, gerakan usul undi tidak percaya atau sebarang usaha mengugut serta menjatuhkan kerajaan hanya akan mewujudkan ketidakstabilan politik, kerajaan dan ekonomi.

“Kalau ada pun permintaan atau tuntutan lebih elok diadakan secara syura (rundingan) kerana semua pimpinan dalam Perikatan Nasional (PN) ada ruang seluas-luasnya untuk bersuara dan berjumpa Perdana Menteri.

“Apalah sukarnya diadakan secara tertutup berbanding menyuarakan secara terbuka termasuk melalui kenyataan media yang hanya menampakkan kerapuhan perpaduan,” katanya.

Mengulas hubungan kerjasama antara UMNO, Bersatu dan Pas Melaka, beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, kerajaan negeri diterajui Datuk Seri Sulaiman Md. Ali masih stabil dan mereka tidak terkesan dengan kemelut di peringkat persekutuan.

 “Kerjasama kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri berada ditahap begitu baik ketika ini dan mesyuarat Exco juga diadakan setiap minggu selain kerajaan berfungsi seperti biasa.

“Malah, semalam (kelmarin) diadakan mesyuarat badan pimpinan Bersatu Melaka yang mana semua pemimpin sebulat suara putuskan memberi sokongan padu bukan sahaja kepada Perdana Menteri untuk teruskan memimpin negara tetapi juga kepada pimpinan Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata, hubungan kerjasama bersama Pas juga tidak terjejas malah parti itu turut berperanan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Kerjasama dengan Pas juga baik, walaupun Pas belum ada wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu tidak merencatkan peranan parti itu untuk sama- sama membantu kita dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya