Kelantan negeri tertinggi terlibat dadah - Utusan Malaysia

Kelantan negeri tertinggi terlibat dadah

Zulkifli Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI : Kelantan merupakan negeri tertinggi jumlah individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah yang direkodkan sebanyak 16,341 kes.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, jumlah itu merupakan sebahagian 142,199 individu yang positif di seluruh negara antara Januari hingga Disember tahun lalu.

“Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 16,341 diikuti Johor (16,124), Selangor (13,722), Pahang (13,616), Kedah (11,629), Terengganu (11,409) dan Sabah (10,886).

“Manakala Perak (9,335), Pulau Pinang (8,987), Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya (8,410), Negeri Sembilan (7,934), Sarawak (6,774), Melaka (4,968) serta Perlis (2,064),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Malam Apresiasi AADK Negeri Johor di sini semalam.

Zulkifli berkata, statistik itu turut menunjukkan jumlah pengganggur adalah tertinggi iaitu seramai 51,090, pekerja sektor swasta (33,253), bekerja sendiri (23,414) dan lain-lain termasuk pelajar, pekerja sambilan serta kakitangan kerajaan (34,442).

“Data ini diperolehi melalui tangkapan yang dilakukan rakan strategik kita iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka yang menerima rawatan dan pemulihan pusat-pusat pemulihan serta Orang Kena Pengawasan (OKP) di fasiliti AADK,” katanya.

Dalam pada itu,  Zulkifli berkata, AADK menambah nilai perkhidmatannya dengan membuka Pusat Pemilihan Seri Iskandar, Perak sebagai pusat pemulihan sukarela.

Jelasnya, pusat tersebut adalah khusus kepada mereka yang berkerjaya yang terjebak dalam kancah penyalahgunaan dadah berkonsepkan memberi peluang kedua.

“Jadi kepada mereka-mereka yang berkerjaya yang mungkin tersilap langkah, berhibur dan sebagainya sebab seseorang itu bermula sebagai pengguna atau penyalahgunaan dadah, kita percaya pelaung kedua perlu diberikan kepada mereka termasuklah pelajar, kakitangan kerajaan dan lain-lain,”katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN