JOHOR BAHRU: Satu bangunan yang menempatkan Jabatan Kesihatan Pesakit Luar Klinik Kesihatan Layang-Layang, Kluang mengalami kebakaran dipercayai berpunca akibat litar pintas dalam satu kejadian berlaku pada 11 Oktober lalu.
Bagaimanapun dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2.30 pagi itu, tiada kemalangan jiwa berlaku akibat insiden kebakaran tersebut.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memaklumkan, beliau telah melawat dan meninjau kerja-kerja baik pulih sebahagian kawasan di bangunan Jabatan Pesakit Luar klinik itu semalam.
“Terima kasih kepada para petugas klinik yang cuba memadamkan kebakaran sebelum bomba tiba dan memadamkan sepenuhnya kebakaran tersebut.
“Kejadian berlaku pada jam 2.30 pagi, 11 Oktober lalu. Alhamdulilah tiada berlaku kemalangan jiwa akibat kebakaran ini,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu, pihak bomba masih menyiasat punca kejadian itu dan hanya operasi klinik pergigian yang terjejas manakala urusan rawatan harian lain berjalan seperti biasa. -UTUSAN