JOHOR BAHRU: Sejajar norma baharu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Karnival Kerjaya Virtual UTM 2020 dengan menawarkan 11,602 peluang pekerjaan.
UTM dalam kenyataan memaklumkan penganjuran karnival secara maya itu dibuat sebagai pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan berlangsung selama enam hari bermula sejak 11 Oktober lalu.
Kata kenyataaan sama lagi, karnival itu menyaksikan kira-kira 150 syarikat terlibat antaranya Micron, Schlumberger, Hartalega, Exxon Mobil dan Ranhill SAJ Sdn. Bhd.
“Selain sesi temuduga yang dijalankan secara atas talian, karnival kerjaya tersebut turut melibatkan penganjuran webinar yang dijalankan sebanyak dua kali sehari dan disertai sehingga 1,000 peserta.
“Menerusi penganjuran webinar itu, peserta didedahkan dengan kemahiran dan keperluan pasaran kerja pada masa kini selain pengalaman dalam bidang keusahawanan,” kata kenyataan itu.
Majlis perasmian Karnival Kerjaya Virtual UTM 2020 telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Sementara itu, Hasni dalam ucapannya berkata, pihaknya mengajak warga pendidik daripada semua universiti di negeri ini untuk sama-sama menjana pembangunan Johor dalam skala lebih besar.
“Pendidikan yang berkualiti dan relevan adalah wajar bagi memastikan penuntut menerima pengetahuan yang bersesuaian dengan persekitaran terkini.
“Oleh itu, saya berharap agar universiti di negeri ini dapat meningkatkan sinergi, kerjasama dan kolaborasi strategik, sama ada melalui platform baharu atau yang sedia ada,” ujarnya.
Tambah beliau, pembangunan Johor pada masa depan akan berteraskan teknologi tinggi selari dengan Pelan Johor Digital menerusi Tujuh Ikhtiar Makmur Johor yang melibatkan usaha pendigitalan Johor secara menyeluruh dan tersusun. -UTUSAN