KUALA NERUS: Kanak-kanak berusia lapan tahun ditemukan lemas ketika mandi-manda di Sungai Terengganu di Kampung Lembah Harapan, Seberang Takir di sini semalam.
Mayat Muhammad Adam Qayyum Ahmad Abdul Hadi ditemukan orang awam yang berada di kawasan itu selepas rakannya memaklumkan tentang kejadian menimpa mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Yusmizan Yusof berkata, pihaknya dengan kekuatan sembilan anggota bersama satu jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.35 petang.
“Ketika tiba di lokasi, mayat murid tahun dua itu telah ditemui orang awam dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan bertugas.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.
Sementara itu, Ahmad Mizan Hashim, 29, berkata, dia bersama tiga rakan lain bertindak terjun ke sungai bagi menyelamatkan mangsa.
“Setelah beberapa kali menyelam, saya menemui mangsa di dasar sungai dan segera membawanya ke atas,” katanya.-UTUSAN