BUKIT MERTAJAM: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terpaksa menahan sakit kira-kira 30 minit selepas kaki kanannya tersangkut pada lubang tandas dalam kejadian di Machang Bubok, di sini petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu yang berlaku di sebuah rumah pukul 4.47 petang.
“Ketika bomba tiba di lokasi kejadian pukul 5.05 petang, didapati kaki kanan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun tersangkut di dalam lubang tandas.
“Kita melakukan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas sebelum kakinya berjaya dibawa keluar pukul 5.26 petang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi itu dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam. – UTUSAN