KULAI : Johor akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) aktiviti keagamaan di seluruh masjid dan surau sekiranya kes jangkitan Covid-19 terus meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, mesyuarat khas Majlis Agama Islam Negeri Johor bakal diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.
Katanya, perkara itu juga membabitkan SOP pembelajaran seluruh sekolah agama di negeri ini.
“Jawatankuasa Fatwa akan membincangkan perkara ini terlebih dahulu sebelum dibawa kepada mesyuarat Majlis Agama Islam Johor yang kemudiannya dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk perkenan baginda,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Mesra Prihatin Makmur Johor di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE