PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggunakan platform digital, TradeLens bagi membolehkan pemeriksaan kontena dapat mengesan sebarang penipuan atau pemalsuan daripada aktiviti eksport dan import barangan di pintu masuk negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, platform itu diaktifkan dengan sistem blockchain di Malaysia bagi memodenkan proses penghantaran dagangan, mewujudkan ketelusan yang lebih efektif dan meningkatkan pematuhan sekali gus memberi impak positif dalam kutipan hasil negara.
“Dengan TradeLens, JKDM kini dapat menerima data penghantaran sebaik sahaja kontena keluar dari pelabuhan asal.
“Dengan menggunakan Collaboration Application Programming Interface (API) dan Teknologi Blockchain, semua aktiviti logistik, pergudangan, penghantaran barang di peringkat
domestik dan global kini dapat disatukan dan perkongsian maklumat dapat dilakukan melalui satu platform dengan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Abdul Latif, pembangunan platform itu adalah kerjasama dengan syarikat IBM Malaysia dan A.P. Moller-Maersk dalam pemantapan operasi digital JKDM dalam usaha mencapai misi untuk memberikan fasilitasi perdagangan dan menguatkuasakan undang-undang.
Selain itu, katanya, usaha memerangi penyeludupan dapat dimantapkan melalui pemodenan sistem logistik nasional.
“TradeLens merupakan platform digital perdagangan global yang membolehkan pengesanan dan perkongsian maklumat lebih cekap dan tepat dalam kalangan ahli platform yang terlibat.
“Kerjasama ini dalam memenuhi aspirasi untuk membawa perdagangan ke tahap yang baharu di negara ini dan mendukung secara konsisten aspirasi kerajaan bagi mengembangkan pengetahuan berasaskan digital melalui transformasi teknologi dalam menghadapi cabaran globalisasi perdagangan,” katanya. -UTUSAN