PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk melakukan kerja-kerja nyah cemar khususnya melibatkan kawasan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Klang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, sekiranya terdapat mana-mana individu yang positif Covid-19 di sesebuah premis, pihaknya akan sentiasa memastikan kawasan yang perlu nyah cemar itu berada dalam keadaan bersih sebelum penghuni lain memasuki semula premis masing-masing.
“Kalau tempat itu kosong baru kita buat proses nyah cemar sebab benda (virus) ini tidak boleh nampak dan masih belum ada mekanisme X-Ray untuk nampak betul-betul bersih apabila kita sudah membersihkan sesuatu kawasan.
“Kita juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan terutamanya pusat kesihatan daerah dan sekiranya kawasan sekitar itu berisiko kita akan buat sanitasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Pingat Kebesaran JBPM di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, pegawai bomba boleh diberi kuasa mengikut Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 daripada sudut bekerjasama dengan pihak polis sekiranya diperlukan dalam penguatkuasaan bersepadu.
Tambah Mohammad Hamdan, pihaknya sudah melakukan kira-kira 10,300 operasi sanitasi melibatkan 13,200 premis serta 4,000 anggota bomba melakukan nyah cemar kawasan berisiko Covid-19 termasuk zon merah, kuning dan hijau di seluruh negara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, pihaknya juga mewujudkan Incident Command System (ICS) di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah khususnya dalam mengatur gerak tugas sepanjang pandemik Covid-19.
“Setakat ini kita mempunyai anggota bomba dan peralatan yang mencukupi dan kebanyakan peralatan seperti bahan kimia disumbangkan oleh pihak swasta serta agensi lain. Kerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di peringkat daerah dan negeri cukup baik,” katanya. -UTUSAN